Penanaman dan penggunaan Phleum_pratense

Tumbuhan jati Eropah ini diperdatangkan tanpa sengaja ke Amerika Utara oleh kaum pendatang terawalnya. Ia mula-mula diperihalkan pada tahun 1711 oleh John Hurd di New Hampshire, lalu dinamakan "rumput Hurd". Akan tetapi, seorang petani bernama Timothy Hanson mula memupuk penanaman rumput ini untuk dijadikan rumput kering sekitar tahun 1720, dan semenjak itulah rumput ini dinamai sempena nama Timothy sendiri. "Rumput Timothy" kini sudah dinaturalkan di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada.

Phleum pratense banyak ditanam sebagai sumber suapan lembu, dan juga dijadikan rumput kering untuk dimakan kuda. Ia agak tinggi kandungan serabutnya, khususnya yang dicantas ketika matang. Rumput ini dijadikan sumber rumput kering yang biasa dan membekalkan pemakanan bermutu untuk kuda, di samping menjadi makanan utama untuk haiwan-haiwan peliharaan seperti arnab, tikus belanda, cincila, dan degu. Rumput ini juga menjadi makanan untuk sesetengah jenis beluncas (larva rama-rama), misalnya Thymelicus lineola. Ia juga tumbuh di tepi jalan dan padang terbiar, tetapi lazimnya memerlukan tanih yang kaya dengan nutrien.

Debunganya merupakan sejenis alergen yang umum; baru-baru ini, ia diguakan dalam sukatan kecil sebagai ramuan untuk sejenis vaksin rinitis alergi, Grazax yang direka untuk merapikan sistem imun badan supaya tidak bertindak balas kepada debunga.

Phleum pratense bertahan sepanjang musim sejuk, tetapi mungkin memperlihatkan batang mati berwarna jerami yang berjambak bunga seakan pepaku, untuk jangka masa yang singkat.